
KESANTUNAN BERBAHASA
Kesantunan budaya Melayu dalam sistem panggilan
Menurut Kamus Dewan (1984) hal. 1126 sistem, bermaksud kaedah atau cara untuk melakukan / menyebut sesuatu, manakala penggilan hal. 901 bermaksud menyuruh datang dengan menyebut nama. Kesimpulannya sistem panggilan bermaksud cara atau kaedah untuk memanggil seseorang untuk datang atau bertegur.
Takrifan Kesantunan
Berbicara tentang santun dalam berbahasa, rasanya amatlah wajar untuk kita selusuri takrifan kesantunan itu sedalam-dalamnya. Menurut Kamus Dewan (1984), hal. 1115 santun bermaksud halus budi bahasa atau budi pekerti, beradab atau sopan. Awang Sariyan(2007) memberi definisi kesantunan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. Menurut Asmah Haji Omar (2000), kesantunan mengikut perspektif Melayu ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pendengar.
Santun dalam berbahasa bukan sahaja mendapat perhatian para pakar bahasa tempatan malah turut dikaji oleh para pengkaji bahasa dari barat. Leech (1983), menginterpretasikan kesantunan sebagai perlakuan yang dapat mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fishman J. Ferguson dan Das Gupta (1968), pula menyatakan kesantunan itu berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar sebagai usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik.
